Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka
lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada
amalan riba yang diharamkan Islam.
Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku
riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang
beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika
kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang
dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah': 278-279)
Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan
dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh
pembayaran yang lewat.
Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah
satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah
SAW yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak
dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam,
perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini
berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak
bertangguh). (riwayat Muslim)
Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang
terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit,
dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan
garam.
Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam
urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli
padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan
bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang
lain.
Urus niaga pembelian emas kini melibatkan
pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau
pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit
adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).
Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat
kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi
tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad
pembelian sebelum berpisah.
Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini
demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena
bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW:
Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)
Sumber di sini
No comments:
Post a Comment